Social Icons

Perlembagaan

FASAL 1  NAMA

(1) Pertubuhan ini dikenali dengan nama Persatuan Juruteknik Komputer Pulau Pinang

Selepas ini disebut “(Persatuan)”.

                  

FASAL 2 ALAMAT

(1) Alamat dan tempat urusan persatuan ialah No 30, Tingkat Serindit 6, Taman Desa Jawi, 14200 Sungai Jawi, Pulau Pinang.

atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa; dan alamat untuk surat menyurat No 30, Tingkat Serindit 6, Taman Desa Jawi, 14200 Sungai Jawi, Pulau Pinang.

(2) Alamat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Persatuan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.


FASAL 3 TUJUAN

(1)   Mengadakan aktiviti yang dapat membina peribadi, meningkatkan kesetianegaraan dan mewujudkan kesedaran terhadap perlunya menjauhi unsur dan nilai negatif dikalangan ahli-ahli;
(2)   Mengadakan aktiviti untuk ahli-ahli dalam bidang kebudayaan, sukan, kerohanian dan lain-lain;
(3)   Menggalakkan penyertaan ahli-ahli dalam program pembangunan komuniti setempat;
(4)   Memberi peluang kepada ahli-ahli terlibat dalam program latihan kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan;
(5)   Menjalankan aktiviti-aktiviti lain yang dapat memperkukuh sumber kewangan persatuan;
(6)   Bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan dalam pelaksanaan program pembangunan ahli, belia, rakyat dan badan-badan bukan kerajaan(NGO’s);
(7)   Mengeratkan perhubungan di antara ahli-ahli serta mempertingkatkan kemahiran ahli-ahli Pertubuhan dalam meningkatkan mutu kerja di Jabatan;
(8)  Mengeratkan perhubungan di antara semua Juruteknik Komputer dengan lain-lain pihak pengurusan di peringkat jabatan dan kementerian yang terlibat dengan  ICT;
(9)   Berusaha memastikan penggunaan sepenuhnya sumber tenaga kakitangan berkomputer dalam sektor awam;
(10)   Membantu kerajaan dalam usaha untuk melahirkan generasi celik IT dengan memanfaatkan segala kemudahan yang telah disediakan.


FASAL 4   KEAHLIAN

Keahlian persatuan adalah seperti berikut;
a) AHLI BIASA
· Warganegara Malaysia
· Berumur tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 60 tahun.
· Sanggup mematuhi peraturan atau perlembagaan persatuan  ini pada setiap masa.
· Pemohon mestilah berjawatan Juruteknik Komputer yang berkhidmat dalam Sektor Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Badan Berkanun di seluruh Pulau Pinang.

b) AHLI BERSEKUTU terbuka kepada mereka yang tidak memenuhi kriteria ahli biasa. Ahli bersekutu tidak boleh mengundi, tidak boleh di undi dan memegang jawatan dalam persatuan.

c) AHLI KEHORMAT terdiri daripada mereka yang berjasa kepada masyarakat dan boleh memberi sumbangan kepada kejayaan persatuan.


Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dibuat melalui borang yang disediakan oleh persatuan, dicadangkan dan disokong oleh ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan.  Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran pertama seperti yang ditetapkan dan diterima menjadi ahli  Persatuan dan berhaklah ia sebagai ahli.


FASAL 5 SUMBER KEWANGAN

Sumber kewangan Persatuan ini adalah daripada:

Bayaran masuk:  (RM 30 Ringgit Malaysia Tiga Puluh)

Yuran:

(a) Yuran tahunan (RM 20 Ringgit Malaysia Dua Puluh)

(b) Yuran tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari terlebih dahulu tidak lewat dari tarikh 31 Mac  tiap-tiap tahun

(c) Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada 6 bulan akan menerima surat peringatan yang ditandatangan oleh atau wakil Setiausaha, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dijelaskan.

(d) Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih dari jumlah yuran bagi 12 bulan dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Persatuan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

(e) Ahli yang dilucutkan keahlian boleh memohon semula menjadi ahli dengan membayar yuran keahlian dan yuran tahunan semula dan di kenakan bayaran penalti sebanyak RM 50 Ringgit Malaysia Lima Puluh.

(3) Sumbangan
Persatuan ini dibenarkan untuk menerima sumbangan kewangan/harta dan ianya  wajib diisytiharkan di dalam Penyata Tahunan Persatuan.

(4) Kutipan Derma
Persatuan boleh membuat kutipan derma dari orang ramai dengan syarat kebenaran Pendaftar Pertubuhan dan kelulusan pihak berkuasa berkenaan diperolehi terlebih dahulu.

(5) Perniagaan
Persatuan ini boleh menjalankan kegiatan ekonomi seperti menjual, membeli, melabur, menyewa, memiliki harta alih dan tak alih dan lain-lain kegiatan ekonomi. Semua wang dan keuntungan yang didapati oleh Persatuan ini hasil dari penyertaannya untuk membayar faedah, keuntungan atau bonus tidak boleh diberi kepada sebarang ahli Persatuan.  Sungguhpun begitu peruntukan ini tidak menghalang sebarang pembayaran yang di buat dengan tujuan baik seperti untuk membayar gaji atau perbelanjaan atau kedua-duanya kepada sebarang ahli atau pekerja Persatuan ini.


FASAL 6 PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Persatuan hendaklah memberi kenyataan bertulis 2 minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya [jika ada].

Mana-mana ahli atau ahli jawatankuasa yang gagal mematuhi Perlembagaan Persatuan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa.  Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung keahlian ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis.  Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya.  Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan Mesyuarat Agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.


 FASAL 7    MESYUARAT AGUNG

(1) Pengelolaan Persatuan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli.  Sekurang-kurangnya satu perdua (½) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.

(2) Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda Perlembagaan Persatuan.

(3) Mesyuarat Agung Tahunan bagi Persatuan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada (31hb Mac) pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah:

menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Persatuan di dalam (tahun lalu);

menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi (tahun yang lalu);

memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan melantik Juruaudit untuk (2 tahun yang akan datang); dan

menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

(4) Setiausaha setelah mendapat persetujuan Jawatankuasa hendaklah menghantar kepada ahli sekurang-kurangnya (14 hari) sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu notis dan agenda mesyuarat termasuk laporan serta penyata kira-kira Persatuan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan dokumen ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat berdaftar Persatuan.

(5) Mesyuarat Agung Khas bagi Persatuan ini boleh diadakan bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa; atau atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari (satu perlima (1/5)) dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya.  Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Persatuan.

(6) Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh (satu bulan) dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

(7) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya (14 hari) sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

(8) FASAL 7(1) dan 7(2) di dalam Perlembagaan ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu, maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa (6 bulan) dari tarikh ini,  Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

(9) Setiausaha hendaklah menghantar kepada ahli satu salinan minit tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.


FASAL 8 JAWATANKUASA

(1) Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Persatuan hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan:

Seorang Presiden
Seorang Timbalan Presiden
Seorang Setiausaha
Seorang Naib Setiausaha
Seorang Bendahari
10 orang Ahli Jawatankuasa Biasa.

(2) Pemegang-pemegang jawatan Persatuan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Persatuan ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia.

(3) Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan.  Semua pegawai boleh dipilih semula.

(4) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung.  Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung.  Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan

(5) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan.  Notis bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli jawatankuasa 7 hari terlebih dahulu. Presiden dengan bersendirian atau tidak kurang daripada (4 orang) ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa.  Sekurang-kurangnya setengah (½) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

(6) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan dari ahli-ahli jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling.  Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa;

Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan

Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.  Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam minit mesyuarat.

(7) Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

(8) Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan atau dipecat mengikut fasal 6 (2), calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu.  Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga pemilihan dalam Mesyuarat Agung diadakan.

(9) Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan Pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Persatuan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkan mustahak.  Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Persatuan.

(10) Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.

(11) Jawatankuasa yang lama hendaklah menyerahkan semua dokumen Persatuan seperti sijil pendaftaran, undang-undang berdaftar, salinan-salinan penyata tahunan, surat-surat maklumbalas, buku-buku, akaun, buku bank, cek dan resit, geran-geran tanah, senarai aset dan sebagainya kepada Jawatankuasa baru.  Walau bagaimanapun, jika terdapat kehilangan, kerosakan dan kesilapan kepada mana-mana dokumen atau harta yang didapati semasa Jawatankuasa lama memegang jawatan maka ianya masih di bawah tanggungjawab Jawatankuasa yang lama.)


FASAL 9 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

Presiden, dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat.  Ia mempunyai undi pemutus.

Timbalan Presiden hendaklah memangku jawatan Presiden semasa ketiadaannya.

Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Persatuan mengikut Perlembagaan dan hendaklah ia menjalankan perintah Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa.  Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua rekod dan dokumen pertubuhan, kecuali buku-buku akaun dan dokumen kewangan.  Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi maklumat terperinci ahli mengikut kategori seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah kediaman tiap-tiap ahli.  Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat.  Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan menghantarkan penyata tahunan Pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan, 1966.

Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.

Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan.  Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya.

Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.


FASAL 10  KEWANGAN

Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam Perlembagaan ini wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira.  Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada (RM 500.00) (Ringgit Malaysia Lima Ratus) pada sesuatu masa.  Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dalam tempoh (7 hari) dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa.  Akaun bank itu hendaklah di atas nama Persatuan.

Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari akaun Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh Presiden dengan Setiausaha dan Bendahari.  Semasa ketiadaan Presiden, Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Persatuan.

Perbelanjaan RM 300 (Ringgit Malaysia Tiga Ratus) dan ke bawah boleh diluluskan oleh Presiden. Perbelanjaan yang lebih daripada (RM 300.00) (Ringgit Malaysia Tiga Ratus) tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa dan perbelanjaan yang lebih daripada (RM 2,000.00) (Ringgit Malaysia Dua Ribu)  tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran Mesyuarat Agung terlebih dahulu. 

Penyata kewangan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Juruaudit yang dilantik di bawah FASAL 11 Perlembagaan ini deng­an seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan.  Penyata kewangan dan kunci kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Persatuan.

Tahun kewangan Pertubuhan ini bermula dari (01 Januari dan berakhir pada 31 Disember) tiap-tiap tahun.


FASAL 11 JURUAUDIT

2 orang yang bukannya Pegawai Persatuan hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Juruaudit.  Mereka akan memegang jawatan selama 2 tahun dan boleh dilantik semula.

Juruaudit adalah dikehendaki memeriksa penyata kewangan dan kunci kira-kira Persatuan bagi 1 tahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan.  Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Presiden mengaudit penyata kewangan dan kunci kira-kira Persatuan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.

FASAL 12 PEGAWAI HARTA

 (1) Harta yang tidak boleh dialih bagi Persatuan hendaklah didaftar atas nama Persatuan dan segala surat cara yang berkaitan dengan harta itu adalah sah dan berkuatkuasa seolah-olah suratcara itu telah disempurnakan oleh seorang tuan punya berdaftar dengan syarat bahawa suratcara itu disempurnakan oleh tiga orang pemegang jawatan utama Persatuan ini yang terdiri daripada Presiden, Setiausaha dan Bendahari yang ada pada masa itu dan pelantikan mereka adalah disahkan oleh satu perakuan daripada Pendaftar dan dimeterikan dengan meteri Persatuan.

(2) Segala hak milik Persatuan tidak boleh dijual, ditarik balik atau dipindah hak milik dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Persatuan.


FASAL 13 TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

Di antara berlangsungnya Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak jelas di dalam undang-undang ini.

Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.


FASAL 14 PENASIHAT/PENAUNG

Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat/Penaung bagi Persatuan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.


FASAL 15 LARANGAN

Sebarang bentuk perjudian seperti yang ditafsirkan dalam Jadual 1 dan 2, Akta Rumah Judi Terbuka, 1953 adalah dilarang kepada ahli Persatuan.

Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definasi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959.

Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Persatuan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.

“Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Persatuan kepada mana-mana ahlinya.

 Seseorang hendaklah hilang layak daripada menjadi seorang pemegang jawatan, menjadi Penasihat atau pekerja Persatuan jika ia telah hilang kelayakan berbuat demikian menurut Seksyen 9A Akta Pertubuhan 1966.


FASAL 16 PINDAAN PERLEMBAGAAN

Perlembagaan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung.  Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada Perlembagaan hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.


FASAL 17 PEMBUBARAN

Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu Mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya.

Sekiranya Persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Pertubuhan yang sah mengikut Perlembagaan hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan.

Permohonan pembubaran ini hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan pembubaran itu.


FASAL 18 LOGO/BENDERA

(1)    Bentuk Logo/Bendera

Keterangan Rekabentuk Logo/Bendera
· Simbol berbentuk Jambatan Pulau Pinang adalah melambangkan ahli yang terdiri daripada pegawai yang berkhidmat di seluruh Pulau Pinang

· Simbol 2 orang berenang bermaksud simbolik ahli bersedia menerima cabaran mendatang dan arus teknologi yang mencabar.

· Simbol komputer adalah asas kepada perkhidmatan setiap ahli yang merupakan seorang Juruteknik Komputer yang mahir.

Keterangan Penggunaan Warna Logo/Bendera
· Warna biru melambangkan warga (PENCTAS) yang mahir dalam bidang teknikal sistem ICT yang berteknologi tinggi.

· Warna Hitam melambangkan warga (PENCTAS) yang punyai semangat bersaing, komited, berdedikasi dan professional.

· Warna kuning melambangkan kesetiaan, kejujuran dan berakhlak tinggi dalam melaksanakan segala tanggungjawab yang diamanahkan.

· Warna putih pula melambangkan ikatan ukhuwah yang rapat sesama ahli  untuk melahirkan insan yang berketerampilan, berjati diri tinggi dan bersifat profesional.

· Makna PENCTAS : PEN – Penang , C – Computer, T – Technician , AS - Association

0 comments:

Post a Comment

Pesanan

Pihak Webmaster tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.